Islamic Widget

Thursday, January 27, 2011

Bahasa SMS perosak bahasa.

Fenomena penggunaan bahasa SMS dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang nampaknya semakin hari semakin sukar dikawal. Penggunaan bahasa SMS melalui komunikasi telefon bimbit sememangnya tidak dapat dielakkan kerana ruang yang terhad untuk menyampaikan sesuatu maksud atau maklumat. Penggunaan simbol, kod atau perkataan singkatan tertentu secara meluas itu dikatakan punca kemerosotan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Kadang kala, dalam bahasa SMS, ayat yang digunakan bercampur aduk antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, bergantung kepada perkataan mana yang lebih pendek supaya maksud yang disampaikan difahami oleh penerimanya dalam ruang yang terhad itu. Sebenarnya, penggunaan bahasa SMS ini tidak salah jika hanya digunakan ketika berhubung melalui SMS, tetapi masalah yang timbul sekarang adalah bahasa SMS terbawa-bawa kepada penggunaan rasmi hingga merosakkan bahasa. Penggunaan rasmi adalah seperti menulis karangan, surat rasmi , memo dan sebagainya.

Antara contoh bahasa SMS ialah “x” bagi maksud tidak, “4” bagi maksud untuk, “cnmne” bagi macam mana, “g” bagi maksud pergi, “xd” bagi maksud tadi, “bgn” bagi maksud bangun dan banyak lagi.

Contoh ayat SMS : “ sue bleh x awk ajr sye cnmne nk wat xment ni sbb sye xtau la.”

Ayat yang sebenarnya ialah “sue, boleh tidak awak ajar saya macam mana hendak membuat tugasan ini sebab saya tidak tahu”. Walaupun ayatnya panjang dan mengambil masa yang lama untuk menaipnya tetapi ini yang seharusnya dilakukan oleh pengguna bahasa supaya kita tidak mencemarkan bahasa Kebangsaan kita. Pengguna bahasa juga haruslah peka dan bijak untuk membezakan antara bahasa untuk urusan rasmi dan tidak rasmi. Kita perlu peka akan kewujudan sistem bahasa rasmi untuk mengelakkan berlakunya kejadian mencampuradukkan bahasa.

Sekian, Wassalam...

Wednesday, January 26, 2011

Apa yang telah terjadi pada bahasa kita ?

Sedarkah kita bahawa bahasa kita semakin rosak dan terpinggir, seakan-akan makin tenggelam di bumi sendiri. Bahasa yang indah makin teruk tercemar dengan pelbagai virus perosak bahasa. Virus yang dimaksudkan adalah penggunaan bahasa slanga yang melampau serta amalan merojakkan bahasa. Bahasa slanga ialah kata-kata atau ungkapan yang tidak tergolong dalam bahasa baku dan selalunya digunakan dalam percakapan yang tidak rasmi. Slanga sering kali berubah. Sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok tertentu sahaja. Malah, amalan mencampurkan penggunaan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris merupakan salah satu amalan yang sangat popular. Antara perkataan bahasa slanga yang telah saya dengari adalah seperti berikut :
1. "Pakwe kau hensem la"
2. "Poyo betul la Mamat tu"
3. "Ala.. kerja ni kacang je nak buatnya"
4."Nasib baik kau tak kantoi ngan Prof tadi. Kalau tidak habis la."

 Ayat-ayat yang mengandungi bahasa-bahasa slanga ini telah saya dengari sepanjang hari sama ada di dalam kelas, bas, kafe dan lain-lain tempat lagi. Para pelajar atau remaja ini selalu menggunakan bahasa slanga dalam pertuturan harian mereka. Mereka nampaknya mengambil ringan terhadap kerosakan bahasa. Penggunaan bahasa slanga yang berleluasa pada masa kini akan menyebabkan bahasa Melayu yang asal akan terhakis sedikit demi sedikit. Hal ini juga akan menyebabkan bahasa asal sesuatu bahasa akan hilang serinya. kita sepatutnya menggunakan bahasa kita sebaik-baiknya. Kurangkanlah penggunaan bahasa slanga dalam pertuturan. Sayangilah bahasa kita, kerana Bahasa Jiwa Bangsa.

Sekian, Wassalam....

Friday, January 21, 2011

Bahasa singkatan/gabungan perkataan dalam pertuturan.

1. "Siti, pasni ko nak pergi mana".
2. "Aku ngan Mira nak pergi makan kat kedai depan".

Hal ini berlaku di dalam kawasan kolej kediaman UPSI, iaitu perbualan antara tiga orang sahabat yang baru pulang dari kelas. Dalam bahasa pertuturan mereka banyak menggunakan bahasa singkatan atau gabungan perkataan-perkataan tertentu. Antara perkataan yang digunakan oleh mereka adalah seperti berikut :
       i)  pasni - selepas ini
      ii)  nak   - hendak
     iii)  ngan  - dengan
     iv)  kat    - dekat
Penggunaan bahasa singkatan atau gabungan perkataan dalam pertuturan sepatutnya dikurangkan oleh pengguna bahasa kerana hal ini juga boleh mencacatkan kosa kata bahasa Melayu. Kosa kata yang telah tersedia ada telah diubah secara sewenang-wenangnya. Oleh itu, kita digalakan supaya menggunakan atau menyebut sesuatu perkataan itu dengan betul (sebutan penuh ) walaupun kita tidak dapat menyebutnya menggunakan bahasa baku.

Wednesday, January 19, 2011

Bahasa rojak dalam pertuturan.

"Kau ni memang terror la"

Seorang pelajar telah mengeluarkan kata-kata ini semasa beliau bersama rakan-rakannya itu sedang melakukan perbincangan kumpulan. Hal ini berlaku ketika saya melintasi kumpulan pelajar terbabit setelah selesai membeli makanan di cafe kolej.
Kesalahan yang dilakukan oleh beliau ialah beliau telah menggunakan perkataan bahasa Inggeris "terror" dalam pertuturannya. Ini dinamakan bahasa rojak yang merupakan salah satu punca berlakunya kerosakan bahasa Kebangsaaan kita, iaitu Bahasa Melayu. Jika ingin menguasai bahasa Inggeris sekali pun, janganlah sesekali merosakkan bahasa Melayu kita. Pelajar tersebut sepatutnya menggantikan perkataan "terror" tersebut dengan perkataan "hebat" atau "bagus" supaya bahasanya lebih sempurna dan sedap didengar.

 Pembetulan :
Kau ni memang hebat la.
Kau ni memang bagus la.
 "Kebanyakan kelas-kelas kita sem ini banyak dekat Proton City la"


Ketika saya sedang menunggu bas di perhentian bas KUO, saya terdengar seorang pelajar perempuan telah melakukan kesalahan bahasa dalam pertuturannya tanpa beliau sedari semasa berbual-bual bersama kawan-kawannya.
Pelajar tersebut telah menggunakan perkataan "kebanyakan" dan "kelas-kelas" dalam satu baris ayat. "kebanyakan" sudah menunjukan bilangan banyak tidak boleh hadir bersama perkataan "kelas-kelas" yang juga menunjukan bilangan yang banyak. Oleh itu, salah satu harus digugurkan.

Ayat yang sepatutnya adalah seperti berikut :
- Kebanyakan kelas kita sem ini banyak dekat Proton City la.  @
- Kelas-kelas kita sem ni banyak dekat Proton City la".

Monday, January 17, 2011

Kesalahan penggunaan bahasa.

1)     "Woi, ko nak pergi mane tu". ( salah )

Seorang pemuda Melayu dalam lingkungan umur 20-an telah mengeluarkan ayat tersebut yang ditujukan kepada rakannya yang ingin berlalu pergi meninggalkannya. Hal ini berlaku di hadapan sebuah kedai makan berhampiran dengan kolej kediaman UPSI.
Berdasarkan sebaris ayat diatas menunjukkan berlakunya ketidaksopanan dalam penggunaan bahasa, khususnya dalam bahasa pertuturan seharian. Pemuda tersebut sepatutnya menggantikan perkataan "woi" tersebut kepada nama rakannya agar lebih sopan.

        contoh : "Mirul, ko nak pergi mana tu" ( betul )

Friday, January 7, 2011

Alhamdulillah dengan limpah rahmatnya, saya masih lagi dapat menghirup udara yang segar pada hari ini.

Tujuan saya mewujudkan blog ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat Melayu pada hari ini supaya kita bersama-sama memperjuangkan dan juga melindungi bahasa kita, iaitu bahasa Melayu daripada dirosakkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab. Cintailah bahasa kita seperti mana anda mencintai diri anda sendiri.  Bahasa adalah maruah bangsa dan negara. Sekian.