Islamic Widget

Sunday, March 13, 2011

Hormatilah para pendidik.

Situasi 35 :

Pada masa kini, masalah disiplin pelajar sekolah sudah mencapai tahap yang membimbangkan semua pihak. Di dada-dada akhbar juga banyak mengisahkan mengenai kes-kes yang melibatkan pelajar sekolah. Semasa di dalam kelas, pensyarah juga selalu menceritakan mengenai  pelbagai gelagat pelajar sekolah, khususnya yang melibatkan pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Masalah disiplin pelajar boleh dikaitkan dengan kegagalan para pelajar untuk mematuhi peraturan sekolah yang telah ditetapkan. Malah, pelajar-pelajar ini telah terlibat dengan masalah sosial seperti buli, salah laku musnah, gangsterisme, lumba haram dan sebagainya. 
                Masalah disiplin pelajar merupakan salah satu masalah yang sukar dibendung. Di sekolah, mereka langsung tidak menghormati arahan guru-guru. Mereka bersikap kurang ajar dan cuba untuk menunjukkan kehebatan di hadapan para guru. Golongan ini lebih cenderung membantah kata-kata guru jika terdapat guru yang melarang mereka melakukan perbuatan yang melanggar peraturan sekolah. Kadang kala, mereka cenderung menggunakan nada suara yang tinggi dan juga kata-kata kesat akan dilemparkan kepada guru-guru yang memarahi mereka. Pada kebiasaannya, guru disiplin yang akan berhadapan dengan gelagat-gelagat pelajar bermasalah ini. Kadang kala, bahasa yang digunakan oleh pelajar bermasalah ini sudah tidak dijaga apabila bercakap dengan guru.




Komen :

Berdasarkan video tersebut, kita seharusnya menggunakan bahasa yang sopan dan janganlah sesekali menggunakan nada yang tinggi apabila bercakap dengan guru. Para pelajar sepatutnya menghormati para guru yang berusaha untuk mendidik kita agar menjadi insan yang berguna. Jika kita berjaya mengamalkan budaya menghormati guru, nescaya kita akan belajar untuk mengurangkan salah laku disiplin dalam diri sendiri. Perkara yang paling penting adalah kita perlu menghormati para guru. Mereka adalah antara golongan yang patut dihormati dan disanjungi sepanjang masa.
Sebagai seorang anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya berkerjasama mengatasi masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar ini. Masalah ini memerlukan kerjasama yang teguh daripada semua pihak, sama ada daripada pihak ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan juga pihak sekolah. Kita perlu berganding bahu bagi mengurangkan masalah ini. Mereka memerlukan perhatian yang lebih daripada semua pihak. Hal ini demikian kerana mereka merupakan generasi baru yang akan mengalas tanggungjawab membangunkan negara ini pada masa yang akan datang.


No comments:

Post a Comment