Islamic Widget

Thursday, March 17, 2011

Kehalusan dalam berbahasa

Situasi 40 :

Bahasa halus ialah bahasa yang digunakan secara beradat dan bersopan santun serta menggunakan segala strategi untuk memaniskan percakapan. Penggunaan bahasa halus ini mempunyai beberapa tujuan, antaranya adalah untuk menghormati dan menjaga perasaan orang yang dilawan bercakap, mewujudkan kemesraan dalam perhubungan dan sebagainya. Selain itu, kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban antara penutur dan pendengar mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama. Oleh itu, bahasa halus ialah bahasa yang lebih sopan dan lebih manis serta tidak menyinggung perasaan orang yang mendengar atau membaca. Pada kebiasaannya, bahasa halus disukai oleh semua orang berbanding penggunaan bahasa kasar. Disamping itu, bahasa kiasan dan peribahasa telah digunakan secara meluas untuk menyatakan sesuatu secara halus, iaitu bersopan santun dan tidak terlalu berterus terang.
Berikut adalah beberapa contoh penggunaan bahasa halus :
Bahasa kasar
Bahasa halus
Mati
Meninggal dunia / pulang ke rahmatullah
Orang gaji
Pembantu rumah
Jaga
Pengawal keselamatan
Jamban
Tandas
Kencing
Buang air kecil
Mengandung
Berbadan dua

Pada suatu hari, di dalam kelas, pensyarah telah menegur pelajar- pelajar mengenai penggunaan bahasa yang kurang sopan atau bahasa kasar, iaitu pelajar telah menggunakan perkataan ‘jamban’ semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tersebut. Beliau mengatakan bahawa perkataan seperti itu hanya sesuai digunakan semasa di rumah atau digunakan sesama sendiri. Perkataan tersebut harus digantikan dengan perkataan yang lebih halus atau sopan, iaitu tandas.

Komen : 

Kita perlu bijak memilih perkataan-perkataan yang sesuai semasa bertutur dan harus bergantung kepada situasi atau keadaan persekitaran. Hal ini demikian kerana jika kita tersalah menggunakan bahasa pada sesuatu situasi, kita akan dianggap sebagai seorang pengguna bahasa yang tidak sopan. dan juga akan dikatakan seorang yang tidak beradab. Sebagai contoh, semasa kita berada dalam situasi formal dan melibatkan golongan masyarakat yang mempunyai kedudukan dan pangkat, kita haruslah menggunakan bahasa yang sopan dan halus agar menghormati orang disekeliling. Hal berbeza jika kita bersama-sama rakan-rakan, ahli keluarga atau orang yang rapat dengan diri kita, maka kita bebas untuk menggunakan sebarang perkataan semasa berkomunikasi. Oleh itu, seorang pengguna bahasa yang baik harus peka akan bahasa yang dituturkan demi kebaikan diri sendiri dan orang lain.




Monday, March 14, 2011

Amalkanlah kesopanan dalam kehidupan seharian.

Situasi 39 :

Pada suatu hari, selepas berakhirnya kelas pada pukul 11 pagi, saya bersama-sama teman menuju ke lif untuk turun ke bawah. Di hadapan lif sudah terdapat beberapa orang pelajar yang turut menunggu ketibaan lif. Apabila lif  tiba, kami terus masuk dan memenuhi ruang lif tersebut. Keadaan dalam lif itu sungguh sesak. Setelah lif tiba di tingkat bawah, semua pelajar mulai bergerak keluar daripada lif tersebut. Semasa mereka sedang bergerak keluar, tiba-tiba terdapat seorang pelajar perempuan terus meluru masuk ke dalam lif, sedangkan pada masa itu masih ramai lagi yang belum keluar daripada lif tersebut. Pada pendapat saya, pelajar berkenaan mungkin sudah lewat ke kelas ataupun beliau takut pintu lif itu tertutup lalu meninggalkannya. Pelajar yang keluar daripada lif tersebut hanya memandang gelagatnya tanpa mengeluarkan sebarang perkataan. Kelakuan pelajar itu begitu tidak bersopan, tiada adab dan turut  menunjukkan identiti beliau sebagai seorang yang tidak berdisplin.

Komen :

Pada pendapat saya, pelajar terbabit sepatutnya belajar sifat lebih bersabar dan bertenang walaupun dalam keadaan tergesa-gesa. Beliau telah menunjukkan sikap yang tidak sopan dan kurang beradab di hadapan pelajar-pelajar lain. Jika di dalam lif tersebut ada pensyarah atau orang yang berpangkat, beliau akan lebih merasa malu dengan sikap yang demikian dan turut memberikan imej yang buruk sebagai seorang pelajar universiti yang terdidik. Kita perlu mengamalkan sikap bersopan santun dalam kehidupan seharian. Jika kita tidak mengamalkan sikap ini, kita pasti akan dibenci atau dipandang serong oleh masyarakat disekeliling berbanding golongan yang mengamalkan sikap bersopan santun, mereka akan disukai oleh pelbagai golongan masyarakat. Kita juga perlulah menjaga adab apabila berhadapan dengan orang ramai. Jagalah perasaan orang yang berada disekeliling sekiranya kita ingin melakukan sesuatu perkara.

Keunikan bahasa di Malaysia.

Situasi 38 :

Filem-filem tempatan pada masa kini telah banyak yang menekankan penggunaan dialek dalam pertuturan seharian. Ini dapat menonjolkan dialek-dialek daerah yang terdapat di negara ini, khususnya untuk pengetahuan masyarakat luar akan kewujudan dialek daerah ini. Mereka akan dapat mengenali kepelbagaian dialek yang terdapat di negara ini seperti dialek Kelantan, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan sebagainya. Hal ini dapat dibuktikan melalui filem ‘Budak Kelantan’ yang menonjolkan dialek Kelantan, filem ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ yang memperkenalkan dialek Perak, dan banyak lagi.
Selain itu, kepelbagaian dialek ini juga telah ditonjolkan melalui lagu-lagu yang liriknya ditulis menggunakan dialek daerah. Contohnya, lagu ‘Anak Tupai’ yang menggunakan dialek Kelantan, lagu ‘Apo Kono Eh Jang’ dan ‘Ayam Den Lapeh’ yang menggunakan dialek Negeri Sembilan, lagu ‘Terengganu Kita’ yang menonjolkan dialek Terengganu, lagu ‘Cinta Pantai Merdeka’ yang memperkenalkan dialek negeri Kedah dan banyak lagi. Masyarakat luar akan lebih mengenali mengenai dialek-dialek yang terdapat di Malaysia. Malaysia adalah negara yang kaya dengan bahasa-bahasa daerahnya tetapi rakyat negara ini tetap setia pada bahasa ibundanya yang utamanya, iaitu bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan. 

Berikut merupakan salah satu lagu tempatan yang menggunakan dialek, iaitu dialek Negeri Sembilan :

Ayam Den Lapeh ( A. Hadi )  

Luruihlah jalan payakumbuah
Babelok jalan kayu jati
Dima ati indak karusuah
Ayam den lapeh ai ai
Ayam den lapeh

Mendaki jalan padangsikek
Basimpang jalan ka biaro
Di ma ati indak kamaupek
Awak takicuah ai ai
Ayam den lapeh

Sikucapang sikucapeh
Saikua tabang saikua lapeh
Tabanglah juo nan karimbo
Oilah malang juo

Pagaruyuang batusangka
Tampek bajalan urang baso
Duduak tamanuang tiok sabanta
Oi takana juo ai ai
Ayam den lapeh

 Komen :

Negara ini mempunyai pelbagai dialek daerah. Hal ini berlaku disebabkan oleh Malaysia terbahagi kepada banyak daerah. Dialek adalah kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa daripada sebutan baku yang digunakan secara tidak rasmi dalam perhubungan kekeluargaan dan juga perhubungan seharian. Selain itu, dialek juga boleh dikatakan sebagai variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesebuah masyarakat atau komuniti bahasa. Penggunaan dialek ini tidak mematuhi peraturan tatabahasa, sebutan tidak tepat dan hanya disampaikan melalui lisan. Kita sebagai rakyat negara ini yang mencintai bahasa ibunda kita, iaitu bahasa Melayu, kita perlulah berhati-hati  semasa menggunakan dialek dalam pertuturan seharian. Penggunaan dialek perlulah bersesuaian dengan situasi atau keadaan masyarakat disekeliling. Hal ini demikian kerana jika bahasa dialek ini digunakan dalam majlis atau upacara yang formal, hal ini mungkin akan menimbulkan salah faham atau boleh juga menyebabkan sesuatu pihak itu tidak memahami perkara yang ingin disampaikan oleh penutur kerana mereka bukan penutur dialek tersebut. Selain itu, penggunaan dialek dalam majlis formal juga boleh dianggap sebagai tidak menghormati bahasa ibunda negara ini. Apabila berkomunikasi dengan masyarakat luar, kita seharusnya menggunakan bahasa Melayu yang betul, iaut bahasa Melayu standard.

Sunday, March 13, 2011

Kenali bahasa pijin

Situasi 37 :

Bahasa pijin merupakan nama yang diberikan kepada bahasa yang bertindak sebagai bahasa perhubungan yang digunakan oleh penutur pelbagai bahasa yang bertemu dan berhubung antara satu sama lain. Bahasa yang digunakan tidak semestinya salah satu bahasa asal penutur kedua-dua belah pihak penutur tersebut. Bahasa pijin terbit daripada satu bahasa yang secara drastik dipermudahkan struktur dan kosa katanya. Bahasa ini tidak digunakan oleh komuniti bahasa sebagai bahasa asal, sebaliknya bahasa itu dipelajari kemudian. Oleh sebab sifatnya yang digunakan untuk tujuan perhubungan dan saling memahami sesuatu perbualan maka bahasa pijin mempunyai kosa kata yang terhad. Bahasa pijin yang digunakan untuk tujuan-tujuan tertentu sahaja. Di Malaysia, kita akan dapat lihat penggunaan bahasa pijin dalam pertuturan para peniaga yang terdiri daripada pelbagai kaum. Mereka menggunakan bahasa pijin untuk berhubung dengan para pelanggan ketika urusan jual beli. Begitu juga, kita boleh mendengar pertuturan para pendatang asing yang bekerja di negara ini yang bukan penutur jati bahasa Melayu. 
              Bahasa pijin di Malaysia sering digelar sebagai bahasa pasar. Pada kebiasaanya, saya akan dapat mendengar penggunaan bahasa pijin ini apabila saya mengunjungi kedai-kedai bangsa Cina atau India di Pekan. Bahasa yang digunakan oleh mereka adalah bahasa pijin, iaitu campuran antara bahasa Melayu dengan bahasa Cina dan juga campuran antara bahasa India dan bahasa Melayu.
Contoh penggunaan bahasa pijin adalah seperti berikut : 
 1) Lu mau apa’ ( Melayu dan Cina )
 2) ‘Ini balang manyak mulah’ ( Melayu dan Cina ) 
       3) ‘Kalau lu talak mau ini balang, lu boleh tolak sama gua’.  
            ( Melayu dan Cina ) 
  4) ‘Itula, lu tatak mau ikut gua pindah. Sikalang sutat susah’.
            ( Melayu dan Cina )
 5) ‘Saya Jalan Hussein juga dudo’ ( Melayu dan India ) 
       6)   ‘Saya sendiri miyaga’ ( Melayu dan India )
      
Komen :

Penggunaan bahasa pijin ini kita akan dapat dengar apabila kita bertemu dan berbual-bual dengan bangsa lain, seperti bangsa Cina dan India. Mereka akan cuba bertutur dalam bahasa Melayu supaya kita mudah untuk memahaminya. Bahasa pijin ini berlaku dalam suasana tertentu sahaja seperti di pasar, pusat membeli belah, dan sebagainya yang dikunjungi oleh pelbagai penutur bahasa. Bahasa pijin ini bersifat sementara kerana bahasa ini tiada penutur jatinya. Di Malaysia, bahasa pijin digunakan secara berleluasa kerana rakyat negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa, iaitu bangsa Melayu, Cina, India dan lain-lain. Bahasa pijin adalah bahasa yang akan mereka pilih apabila berhubungan sesama sendiri agar perkara yang ingin disampaikan itu dapat difahami oleh kedua-dua belah pihak. 

 Bahasa asas perpaduan.

Bahasa rojak suatu kebiasaan atau kesalahan ?

Situasi 36 :

Bahasa rojak adalah salah satu bahasa yang biasa dituturkan oleh rakyat di negara ini. Bahasa ini hasil daripada campuran pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Walau bagaimanapun, bahasa dasarnya adalah bahasa Melayu. Bahasa ini digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat khususnya golongan remaja. Alasan yang popular didengar adalah penggunaannya boleh menonjolkan kehebatan penutur menguasai bahasa lain, terutamanya bahasa Inggeris. Sebenarnya, tanpa mereka sedari semasa menuturkan bahasa rojak dengan jelas memperlihatkan diri mereka tidak mampu untuk menuturkan sesuatu bahasa itu dengan sepenuhnya dan akan dicemuh oleh masyarakat disekeliling. Pada kebiasaannya, penutur bahasa rojak ini akan mencampurkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Mereka tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi ingin menunjukkan kebolehan mereka bertutur dalam bahasa Inggeris khususnya remaja yang tinggal di bandar-bandar besar.
              Apabila saya berjalan-jalan di bandar Kuala Lumpur, saya perhatikan penggunaan bahasa rojak ini telah digunakan secara berleluasa dalam kalangan penduduk di bandar itu. Mereka sudah menganggapnya sebagai suatu kebiasaan dalam pertuturan bukannya suatu kesalahan bahasa.
Contoh dialog yang menggunakan bahasa rojak adalah seperti berikut : 
  
         Kira :  Last night, I tengok movie sampai pukul 2 pagi. 
                   Best taw movie tu. Happy ending. 
                   I suke tengok hero and heroin dalam movie tu.
                   sweet sangat. Cousin I pun suka movie tu. 

         Mira : Story la sikit. Aku nak dengar. Hensem tak hero die.

Komen :

Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan rakyat Malaysia merupakan satu topik yang hangat diperkatakan kerana para pengkaji bahasa menganggapnya sebagai penyalahgunaan bahasa dan mungkin akan menimbulkan krisis dalam pembelajaran bahasa. Pengguna bahasa perlulah menggunakan satu bahasa sahaja secara sepenuhnya. Malah, penggunaan bahasa asing yang mempunyai persamaan makna dengan bahasa ibunda juga harus dielakkan dengan memakai bahasa Melayu yang betul. Fenomena bahasa rojak ini boleh merosakkan ketulenan bahasa. Malah, penggunaan bahasa rojak untuk komunikasi seharian juga boleh menghadkan perbendaharaan kata sedangkan bahasa Melayu kaya dengan unsur tersebut. Perkembangan bahasa rojak tanpa kawalan ini akan menyebabkan bahasa sebagai jati diri orang Melayu menjadi kabur. Sedangkan, kekuatan sesuatu bangsa itu terletak pada bahasa dan budayanya.

 Cintailah bahasa kebangsaan kita.

Hormatilah para pendidik.

Situasi 35 :

Pada masa kini, masalah disiplin pelajar sekolah sudah mencapai tahap yang membimbangkan semua pihak. Di dada-dada akhbar juga banyak mengisahkan mengenai kes-kes yang melibatkan pelajar sekolah. Semasa di dalam kelas, pensyarah juga selalu menceritakan mengenai  pelbagai gelagat pelajar sekolah, khususnya yang melibatkan pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Masalah disiplin pelajar boleh dikaitkan dengan kegagalan para pelajar untuk mematuhi peraturan sekolah yang telah ditetapkan. Malah, pelajar-pelajar ini telah terlibat dengan masalah sosial seperti buli, salah laku musnah, gangsterisme, lumba haram dan sebagainya. 
                Masalah disiplin pelajar merupakan salah satu masalah yang sukar dibendung. Di sekolah, mereka langsung tidak menghormati arahan guru-guru. Mereka bersikap kurang ajar dan cuba untuk menunjukkan kehebatan di hadapan para guru. Golongan ini lebih cenderung membantah kata-kata guru jika terdapat guru yang melarang mereka melakukan perbuatan yang melanggar peraturan sekolah. Kadang kala, mereka cenderung menggunakan nada suara yang tinggi dan juga kata-kata kesat akan dilemparkan kepada guru-guru yang memarahi mereka. Pada kebiasaannya, guru disiplin yang akan berhadapan dengan gelagat-gelagat pelajar bermasalah ini. Kadang kala, bahasa yang digunakan oleh pelajar bermasalah ini sudah tidak dijaga apabila bercakap dengan guru.



video

Komen :

Berdasarkan video tersebut, kita seharusnya menggunakan bahasa yang sopan dan janganlah sesekali menggunakan nada yang tinggi apabila bercakap dengan guru. Para pelajar sepatutnya menghormati para guru yang berusaha untuk mendidik kita agar menjadi insan yang berguna. Jika kita berjaya mengamalkan budaya menghormati guru, nescaya kita akan belajar untuk mengurangkan salah laku disiplin dalam diri sendiri. Perkara yang paling penting adalah kita perlu menghormati para guru. Mereka adalah antara golongan yang patut dihormati dan disanjungi sepanjang masa.
Sebagai seorang anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya berkerjasama mengatasi masalah disiplin yang berlaku dalam kalangan pelajar ini. Masalah ini memerlukan kerjasama yang teguh daripada semua pihak, sama ada daripada pihak ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan juga pihak sekolah. Kita perlu berganding bahu bagi mengurangkan masalah ini. Mereka memerlukan perhatian yang lebih daripada semua pihak. Hal ini demikian kerana mereka merupakan generasi baru yang akan mengalas tanggungjawab membangunkan negara ini pada masa yang akan datang.


Bahasa rempit

Situasi 34 :

Bahasa rempit adalah bahasa yang digunakan oleh golongan remaja khususnya pelajar-pelajar sekolah. Bahasa rempit ini adalah bahasa yang popular pada masa kini. Bahasa rempit ini juga merupakan salah satu bahasa yang merosakkan bahasa kebangsaan kita. Bahasa ini digunakan secara berleluasa dan tidak dapat dibendung lagi dalam kalangan remaja pada masa kini. Mereka menggunakan singkatan perkataan bahasa Melayu dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contoh, aq (aku), wat (buat), duk (duduk). Malah, mereka juga menukar sesuatu perkataan itu kepada bahasa mereka. Sebagai contoh, mocan (bosan), kowunk (korang/ kamu), tao ( tahu ), tyomelnya ( comelnya ) dan dorunk ( diorang / mereka ). Bahasa rempit ini akan lebih jelas dilihat dalam penulisan khidmat pesanan ringkas ( sms ) antara mereka. Jika didengar melalui bahasa lisan, kita sukar untuk membezakannya dengan bahasa slanga yang biasa didengar.

Contoh ayat yang biasa digunakan adalah seperti berikut :
1)      weh, jom ikt Aq gi tgk wyg. mocan la duk umah. ta tao wat pe’.
2)      ‘Kowunk sihat tak?’
3)      ‘Tyomelnya kau’
4)      ‘Kaw ni jahatlah’
5)      ‘Ajak dorunk sekali’
6)      ‘Leklu’   

 


Komen :
Masyarakat pada masa kini, khususnya golongan remaja tidak mempunyai semangat untuk memperkasakan dan juga memartabatkan bahasa kebangsaan. Kesedaran mengenai kepentingan bahasa kebangsaan tidak wujud dalam diri mereka. Golongan ini memerlukan bimbingan supaya mereka sedar akan pentingnya bahasa kebangsaan kita ini. Jika mereka mempunyai kesedaran dalam diri mereka, maka mereka tidak akan sesekali merosakkan bahasa kebangsaan yang sedia ada. Perkara yang paling membimbangkan adalah jika golongan remaja ini terutamanya pelajar sekolah akan membiasakan diri menggunakan bahasa ini walaupun di dalam peperiksaan, iaitu semasa menghasilkan karangan bertulis. Mereka tidak akan dapat menghasilkan karangan yang baik kerana bahasa yang digunakan dalam penulisan karangan tersebut telah dipengaruhi oleh bahasa yang biasa digunakan bersama-sama teman-teman, iaitu bahasa rempit. Oleh itu, guru-guru bertanggungjawab untuk membantu pelajar-pelajar ini.

 Bahasa mencerminkan bangsa