Islamic Widget

Monday, March 14, 2011

Keunikan bahasa di Malaysia.

Situasi 38 :

Filem-filem tempatan pada masa kini telah banyak yang menekankan penggunaan dialek dalam pertuturan seharian. Ini dapat menonjolkan dialek-dialek daerah yang terdapat di negara ini, khususnya untuk pengetahuan masyarakat luar akan kewujudan dialek daerah ini. Mereka akan dapat mengenali kepelbagaian dialek yang terdapat di negara ini seperti dialek Kelantan, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan dan sebagainya. Hal ini dapat dibuktikan melalui filem ‘Budak Kelantan’ yang menonjolkan dialek Kelantan, filem ‘Hantu Kak Limah Balik Rumah’ yang memperkenalkan dialek Perak, dan banyak lagi.
Selain itu, kepelbagaian dialek ini juga telah ditonjolkan melalui lagu-lagu yang liriknya ditulis menggunakan dialek daerah. Contohnya, lagu ‘Anak Tupai’ yang menggunakan dialek Kelantan, lagu ‘Apo Kono Eh Jang’ dan ‘Ayam Den Lapeh’ yang menggunakan dialek Negeri Sembilan, lagu ‘Terengganu Kita’ yang menonjolkan dialek Terengganu, lagu ‘Cinta Pantai Merdeka’ yang memperkenalkan dialek negeri Kedah dan banyak lagi. Masyarakat luar akan lebih mengenali mengenai dialek-dialek yang terdapat di Malaysia. Malaysia adalah negara yang kaya dengan bahasa-bahasa daerahnya tetapi rakyat negara ini tetap setia pada bahasa ibundanya yang utamanya, iaitu bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan. 

Berikut merupakan salah satu lagu tempatan yang menggunakan dialek, iaitu dialek Negeri Sembilan :

Ayam Den Lapeh ( A. Hadi )  

Luruihlah jalan payakumbuah
Babelok jalan kayu jati
Dima ati indak karusuah
Ayam den lapeh ai ai
Ayam den lapeh

Mendaki jalan padangsikek
Basimpang jalan ka biaro
Di ma ati indak kamaupek
Awak takicuah ai ai
Ayam den lapeh

Sikucapang sikucapeh
Saikua tabang saikua lapeh
Tabanglah juo nan karimbo
Oilah malang juo

Pagaruyuang batusangka
Tampek bajalan urang baso
Duduak tamanuang tiok sabanta
Oi takana juo ai ai
Ayam den lapeh

 Komen :

Negara ini mempunyai pelbagai dialek daerah. Hal ini berlaku disebabkan oleh Malaysia terbahagi kepada banyak daerah. Dialek adalah kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa daripada sebutan baku yang digunakan secara tidak rasmi dalam perhubungan kekeluargaan dan juga perhubungan seharian. Selain itu, dialek juga boleh dikatakan sebagai variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesebuah masyarakat atau komuniti bahasa. Penggunaan dialek ini tidak mematuhi peraturan tatabahasa, sebutan tidak tepat dan hanya disampaikan melalui lisan. Kita sebagai rakyat negara ini yang mencintai bahasa ibunda kita, iaitu bahasa Melayu, kita perlulah berhati-hati  semasa menggunakan dialek dalam pertuturan seharian. Penggunaan dialek perlulah bersesuaian dengan situasi atau keadaan masyarakat disekeliling. Hal ini demikian kerana jika bahasa dialek ini digunakan dalam majlis atau upacara yang formal, hal ini mungkin akan menimbulkan salah faham atau boleh juga menyebabkan sesuatu pihak itu tidak memahami perkara yang ingin disampaikan oleh penutur kerana mereka bukan penutur dialek tersebut. Selain itu, penggunaan dialek dalam majlis formal juga boleh dianggap sebagai tidak menghormati bahasa ibunda negara ini. Apabila berkomunikasi dengan masyarakat luar, kita seharusnya menggunakan bahasa Melayu yang betul, iaut bahasa Melayu standard.

No comments:

Post a Comment